Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan 
oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau 
menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan 
sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia 
agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .
Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak 
terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa 
keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan 
perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta 
nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia 
.ala
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari 
kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , 
lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan 
kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas 
rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui" . An Nuur : Ayat 32
 Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan 
prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu 
terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh 
dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut 
beberapa contoh ] :
* Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
* Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
* Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
* Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
* Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
* Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
* Merendahkan hantaran perkahwinan
 Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah
 atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah 
Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum 
dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
* Suami
* Isteri
* Wali
* Saksi
* Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal 
serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti 
[sekadar menyebut beberapa contoh] :
* Masih menuntut di kolej atau uniersiti
* Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
* Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah 
dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua
 pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah 
mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar -
 benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar 
tanggungjawabnya.
 Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri 
yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam 
tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan
 kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa 
yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .
Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama 
pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ 
keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri 
dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu 
dengan bangga dan bermaruah .
 Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran 
rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari 
pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan 
keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan 
mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan 
mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan 
terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan 
selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari 
bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .
 Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . 
Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan 
sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak 
boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis 
perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan 
dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]
 Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan 
sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa 
Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan
 Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena
 sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .
Perbahasan Hukum
Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah 
Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang 
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini 
Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah 
berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka 
bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah 
terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang 
dipersetujui.
 Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal 
berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang 
 disebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ 
jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah
 zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa 
pandangan :
a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini
 [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja 
aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .
b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila 
isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri
 kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [
 mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar 
rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .
 Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak 
diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum 
berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , 
maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami 
isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah
 dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang 
sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan 
bayi atau membunuhnya .
 Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru bagi sesetengah pihak
 , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan 
teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak 
dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja 
maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling 
ditakuti .
Dikesempatan ni juga, pihak DPMZ dengan rasminya telahpun melantik 
pengarah bagi Unit Bait Muslim DPMZ bagi sesi ini iaitu Saudara Abdul 
Hadi Zuki, Mahasiswa tahun 6 perubatan Universiti Zagazig. Jika ada 
sebarang pertanyaan mahupun permasalahan yang berkaitan dengan institusi
 bait muslim, maka boleh terus dirujuk kepada beliau.

No comments:
Post a Comment